KUALA LUMPUR: Umno menyasarkan satu juta ahli baru parti itu akan mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Naib Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata buat masa ini, keahlian Umno lebih 3.5 juta dengan 661,000 ahli masih belum mendaftar sebagai pengundi.
Beliau menjangka keahlian sedia ada berkurangan apabila proses mengemaskini daftar keahlian Umno selesai April ini berikutan ada ahli meninggal dunia, berpindah atau tidak aktif.
Kita yakin akan mencapai jumlah keahlian seramai empat juta menjelang PRU-13 dengan sasaran sejuta ahli dan pengundi baru menerusi kempen pendaftaran aktif dijalankan parti dan sayap Pemuda serta Puteri Umno.
Berdasarkan proses berjalan sekarang, lebih 50 peratus keahlian membabitkan golongan muda dan kita akan gunakan kempen mempermudahkan usaha mendekati golongan ini seperti pendekatan interaktif menggunakan laman sosial Facebook, e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) selain turun ke padang, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Seminar Keahlian dan Pelancaran Skuad Cari Seramai Ahli (CSI) serta Kembara Daftar Pemilih anjuran Biro Keahlian Puteri Umno, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Sekretariat Biro Keahlian Umno, Datuk Dr Adham Baba dan Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata Skuad CSI berperanan mendekati rakyat bagi menarik keahlian dan memastikan mereka mendaftar sebagai pengundi selain memberi penerangan jelas kepada rakyat bagi menangkis tohmahan parti pembangkang, katanya.
Sementara itu, Rosnah berkata, pergerakan itu menyasarkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada 119,000 ahlinya yang layak mengundi, berdaftar dengan SPR sebagai pemilih sebelum Jun ini.
Keahlian Puteri Umno kini dianggarkan 340,000 orang di seluruh negara dan proses pemutihan perlu dilakukan segera bagi mengenal pasti ahli yang masih setia kepada parti, katnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan