Selasa, 27 Julai 2010

Guru Gred 41 Hingga 48 Dibenar Terlibat Dalam Politik

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad," kata Mohd Sidek.

Beliau berkata syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik.

-- BERNAMA


http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=516626

Ahad, 25 Julai 2010

Dua hadapi tuduhan kemuka tuntutan palsu

2010/07/08


BATU PAHAT: Seorang ketua kampung dan guru sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,998 ke Pejabat Daerah Batu Pahat bagi membekal peralatan dan persiapan kursus kepimpinan serta motivasi belia bagi Pemuda UMNO Sri Gading, dua tahun lalu. 

Tertuduh, Rahmat Junid, 45, yang juga Ketua UMNO Cawangan Parit Ismail dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sri Gading dan Saiful Basar Samakon, 44, yang juga Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO Sri Gading, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.


Rahmat dan Saiful Basar dituduh bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu kerja membekal peralatan dan persiapan termasuk makanan dan minuman bagi kursus kepemimpinan motivasi belia Parlimen Sri Gading bagi Pemuda UMNO Parlimen Sri Gading Mukim 8 yang berjumlah RM19,998 walaupun kerja berkenaan tidak dilaksanakan dan kursus berkenaan juga tidak pernah diadakan.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Hakim Mohamad Halidar Abdul Aziz memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan RM8,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan pada 28 September depan.

Khamis, 22 Julai 2010

Perpaduan Melayu; Supaya Lupa Isu Negara

Perpaduan Melayu; Supaya Lupa Isu Negara
Ustaz Idris Ahmad
21/7/10
 
Parti Islam Semalaysia Mengingatkan kepada semua pimpinan dan ahli Pas di semua peringkat jangan terpedaya dengan tektik media umno untuk menenggelamkan isu negara yang bertimbun-timbun sekarang yang mengambarkan kerajaan yang ditunjangi umno di negara ini semakin rapuh dan reput. Ketika gelombang krisis keyakinan kepada umno dan bn di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang karam, maka perpaduan melayu dijadikans ebagai benteng untuk menutup bangkai gajah yang terlalu besar. Slogan 1 Malaysia nampak tidak menjadi dengan gelagat Perkasa dan kenyataan Datuk Nasir Safar.
 
Pas menyedari ini adalah sebahagian daripada tektik media untuk mengalih isu yang sebenar dan melupakan isu pokok yang mencengkam rakyat. Mereka melontarkan isu ini melalui proksi mereka Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantara, untuk  menunjukkan bahawa mufti yang mencadangkan perpaduan ini, apabila Pas menolak ada peluang untuk  menduduh Pas sombong dan angkuh.
 
Perlu diingat bahawa isu perpaduan melayu diuar-uarkan ketika rakyat didahulukan dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga gula pada 16/7/2010. Pemimpin umno hendak rakyat leka dan berbincang  mengenaai isu perpaduan melayu, yang tidak pernah berbangkit langsung dalam mesyuarat tertinggi Pas. Hajat mereka supaya rakyat tidak marah mengenai kenaikan harga minyak dan gula. Perlu dingatkan bahawa gula, tepung dan minyak akan dinaikkan secara berperingkat- peringkat kearah untuk mengahpuskan subsidi di negara ini dalam masa 3-5 tahun.
 
Pas hendak mengingatkan kepada rakyat, bagaimana media diarahkan supaya jangan sama sekali meletakkan tajuk berita  “harga  barang naik”, ketika ditaklimat pada 15 hb Julai 2010. Sebaliknya media perlu meletakkan “subsidi dikurangkan”, “rasionalisasi” , menstrukturkan semula supaya rakyat yang tidak faham dan ada  yang faham harga barang turun. Maka tidak hairanlah kepada kita pada hari ini media proksi umno memainkan isu perpaduan supaya rakyat lupa isu negara yang begitu banyak dan kenaikan harga barang.
 
Pas hendak memaklumkan  kepada semua ahli dan pimpinan Pas supaya fokuskan kerja kita untuk mengantikan umno di negara ini. Penerangan dan dakwah kepada ahli umno yang tidak faham perjuangaan Pas perlu dilakukan secara berterusan, usahkan dilayan segala ajakan dan pujuk rayu umno untuk melamar Pas, kita biarkan cinta umno tidak berbalas dan biarkan umno “angau” seorang diri.
Petunjuk ekonomi negara semakin tertekan dengan kadar faedah pinjaman bank dinaikkan.  Bank Negara Malaysia pada 8 Julai lalu menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi kali ketiga tahun ini kepada 2.75 peratus. Susulan itu, bank turut menaikkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) masing-masing. Maybank menaikkan BLRnya sebanyak 0.25 peratus kepada 6.30 peratus. Semuanya gara-gara pemimpin negara yang boros dan rasuah sehingga amat dirasai oleh rakyat biasa di negara
 
Begitu banyak isu-isu negara yang mengambarkan umno sudah tidak mampu mengemudi negara, antaranya peruntukan saham bumiputera lesap sebanyak RM52 bilion, jenayah meningkat, anak luar nikah Melayu sahaja 17,303 orang (2009), enjen kapal terbang hilang, kapal selam berharga RM1.7 bilion tidak boleh menyelam, hutang negara RM362.4 bilion, serah telaga minyak blok L dan M pada Brunai yang bernilai RM320 bilion (kalau perbelanjaan negeri Kedah RM400 juta, dapat belanja selama 700 tahun),  terlepas Pulau Batu Putih pada Singapura, Pos Malaysia rugi RM 227 juta, 217 hektar tanah serah pada Singapura, serah 50 peratus kepada Singapura untuk membangun Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), wang Felda susut daripada RM4.08 bilion 2004 hanya  tinggal RM1.35 bilion pada tahun 2009, membazir wang rakyat RM77 juta kepada APCO Israel setahun untuk menjadi penasihat komunikasi.
 
Isu-isu inilah yang perlu disampaikan kepada rakyat, maka jangan kita hiraukan pujukan umno melalui proksinya, Pas sudah tegas dengan Paktan Rakyat. Pas tidak akan mencari nahas untuk untuk mencari pasangan hidup dengan orang yang ada masalah kesihatan yang sukar hendak diubat.