Ahad, 25 Julai 2010

Dua hadapi tuduhan kemuka tuntutan palsu

2010/07/08


BATU PAHAT: Seorang ketua kampung dan guru sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,998 ke Pejabat Daerah Batu Pahat bagi membekal peralatan dan persiapan kursus kepimpinan serta motivasi belia bagi Pemuda UMNO Sri Gading, dua tahun lalu. 

Tertuduh, Rahmat Junid, 45, yang juga Ketua UMNO Cawangan Parit Ismail dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sri Gading dan Saiful Basar Samakon, 44, yang juga Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO Sri Gading, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.


Rahmat dan Saiful Basar dituduh bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu kerja membekal peralatan dan persiapan termasuk makanan dan minuman bagi kursus kepemimpinan motivasi belia Parlimen Sri Gading bagi Pemuda UMNO Parlimen Sri Gading Mukim 8 yang berjumlah RM19,998 walaupun kerja berkenaan tidak dilaksanakan dan kursus berkenaan juga tidak pernah diadakan.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Hakim Mohamad Halidar Abdul Aziz memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan RM8,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan pada 28 September depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan