Aktiviti kilang dan penempatan punca pencemaran teruk
BATU PAHAT: Busuk, menjijikkan dan tercemar. Itulah ungkapan yang tergambar sebaik melihat Sungai Simpang Kanan di sini, yang terbentang luas berhampiran Kampung Sri Bengkal.
Air sungai berkenaan bukan saja kelihatan keruh kehitam-hitaman, malah ada kalanya sampah sarap membentuk seperti pulau sehingga hidupan akuatik seperti ikan langsung tidak dapat dikesan di dalam sungai berkenaan yang teruk tercemar. Tinjauan mendapati pencemaran di Sungai Simpang Kanan berikutan ada banyak penempatan manusia sehinggalah ke kawasan penternakan ayam, kawasan perindustrian serta kawasan ladang kelapa sawit di pesisir sungai bermula di Bandar Batu Pahat sehingga kawasan berkenaan.
Ia menjadikan Sungai Simpang Kanan menerima kesan langsung kerana menjadi laluan sungai utama di Batu Pahat, selain lokasinya yang strategik untuk segala sisa termasuk sampah, sisa toksid, malah najis ayam dibuang ke dalamnya.
Malah, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, dalam rangka lawatan ke Parlimen Sri Gading di sini, baru-baru ini, sempat menyatakan betapa kebanyakan sungai di daerah ini, kotor dan tercemar sehingga secara khusus menamakan Sungai Simpang Kanan, sebagai satu daripadanya.
Walaupun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang dalam proses mendalamkan sungai berkenaan serta membersihkannya, bagi mengelakkan banjir, namun beberapa penduduk ditemui berkata, pencemaran yang berlaku di sungai berkenaan sukar diatasi.
Seorang penduduk yang tinggal kira-kira 200 meter dari sungai berkenaan, Norlela Mohamad, 46, berkata, keadaan sungai berkenaan yang tercemar sudah berlarutan sejak 40 tahun lalu, akibat pembangunan pesat kawasan Batu Pahat.
“Dulu masa saya kecil, Sungai Simpang Kanan jernih airnya dan menjadi laluan utama penduduk menyeberangi sungai. Sungai ini, pun dulu terkenal kerana banyak ikan seperti tapah, keli dan baung tapi sekarang semua sudah menjadi kenangan.
“Sejak kewujudan banyak kilang di pesisir sungai di sekitar Batu Pahat, keadaan sungai yang tercemar sudah sebati dengan penduduk. Apa yang kami kesalkan ada penduduk di kawasan lain sepanjang sungai di Batu Pahat menjadikan sungai tempat pembuangan sampah sehingga ia membentuk seperti pulau terutama ketika sampah terlalu banyak.
“Ada juga kilang yang membuang sisa toksik mereka ke dalam sungai berikutan air sungai kadang-kala bertukar warna kepada hijau, merah jambu dan coklat perang dan apabila hujan, penduduk terpaksa menghidu bau yang sangat busuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Pekerja am, Mahadi Mat Jeron, 51, yang turut tinggal di pesisir Sungai Simpang Kanan, pula berkata, agensi kerajaan seperti JPS memang selalu membuat pemantauan terhadap keadaan sungai berkenaan.
“Bagaimanapun, jika kesedaran orang ramai terutama pemilik kilang serta masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai tidak diperbaiki, masalah sungai tercemar tidak akan berakhir. Jika harapkan JPS saja, ia tidak akan berhasil.
“Jika tidak ada penduduk membuang sampah dan kilang tidak membuang sisa mereka ke dalam sungai, masalah pencemaran tidak akan menjadi seburuk sekarang. Jika dulu, air sungai boleh dibuat minum atau masak sekarang langsung tidak boleh kerana ia terlalu busuk dan menjijikkan,” katanya.
LAUTAN YANG TERANCAM - BAHAGIAN 2.
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan