Dun Maharani dan DUN Sungai Abong tentunya menjadi anak emas PAS Johor. Kedua-dua DUN ini melakar sejarah dalam perjuangan PAS di negeri tanah tumpah darah UMNO ini pada pilihanraya umum yang lalu. Meskipun DUN Senggarang mencipta sejarah sebagai anak sulung kemenangan PAS di Johor, namun kemenangan di Maharani dan Sungai Abong tentunya suatu kemenangan jantan yang amat bergaya. Kemenangan ini pastinya bukan semata-mata terhasil oleh gelombang perubahan politik di peringkat nasional, malah ianya turut juga dipengaruhi oleh kekuatan jentera pilihanraya Johor di semua peringkat dan tidak ketinggalan juga kerana terserlahnya ketrampilan calon yang dikemukakan oleh PAS.
Sebagai peneroka kemenangan PAS di Johor, tentunya kedua-dua DUN ini layak dinobatkan sebagai kubu kuat PAS di negeri ini. Kalau dulu, kubu kuat PAS di Johor terletak di kawasan-kawasan majority besar Melayu, seperti di Rengit, Endau, Sri Medan dan bebarapa kawasan lagi, namun kemenangan di kedua-dua DUN tersebut barangkali menganjak sedikit perspektif banyak pihak bahawa potensi PAS untuk menang di kawasan kubu Melayu tradisi mereka kelihatan agak sukar. DUN Rengit adalah satu-satunya DUN majority Melayu yang merupakan kubu kuat PAS secara tradisi di Johor yang mencatat penurunan undi yang diperolehi oleh PAS dalam PRU12 lalu berbanding PRU sebelumnya. Kubu tradisi PAS di kawasan Melayu ini memang memiliki kelebihan dari segi kekuatan sokongan ahli yang ramai dan tegar. Namun ini tidak menjamin mereka mampu menarik pengundi yang ramai untuk memberi undi pada PAS. Fenomena ini tentunya menjadi suatu senario baru dalam politik PAS di Johor. Kawasan yang dulunya tidak dilihat sebagai berpontensi untuk PAS menang, kini ternyata mampu meraih kemenangan dan sewajarnya kawasan ini dinobatkan sebagai kubu kuat PAS di Johor.
Gelombang politik di negara kita ternyata ada pasang surut dan ini membawa perubahan-perubahan yang kadang kala sukar dijangka atau diramal. Senario di Tenang, Galas, Hulu Selangor dan di beberapa PRK yang lalu memperlihatkan sikap pengundi yang pelbagai. Kelihatannya seperti sokongan bukan Melayu masih utuh dengan PR dan pengundi Melayu pula lebih banyak memihak kepada BN. Kalau di Tenang pula, meskipun pengundi Cina masih kekal, tetapi pengundi Melayu bandar atau pinggir bandar nampaknya cenderung kembali kepada BN. Pada penulis, senario dan perubahan arus gelombang politik ini perlu diteliti dan ditekuni oleh pimpinan PAS Johor. Kerana saya yakin ianya akan mendatangkan impak kepada kalah menang PAS di Johor dalam PRU yang akan datang. Begitu juga dengan kemampuan bertahan kedua-dua kubu kuat PAS yang kita menangi dalam PRU12 baru lalu.
Pendekatan dan usaha yang lebih mantap, (pada saya patut lebih agresif) perlu dirangka dan dilaksanakan oleh kepimpinan dan jentera PAS untuk memperkukuhkan lagi kedua-dua DUN kubu kemenangan kita di Johor ini. Suhu sokongan pengundi setempat sewajarnya dipantau dan dinilai secara berkala dan berkesan untuk mengenalpasti tahap sokongan serta mengenalpasti dianogsis permasalahan atau ketempangan yang timbul. Usaha penetrasi ke dalam lubuk hati pengundi melayu yang mendiami pinggir bandar atau kampong tradisi di DUN berkenaan amat perlu dilakukan secara tersusun dan berkala. Di samping itu, kemampuan jentera pilinraya tempatan perlu diperkukuhkan. Jentera peringkat negeri tidak sewajarnya merasa selamat dan selesa lalu bersikap sambil lewa dalam usaha ini memandangkan kerja atau jihad mempertahankan kemenangan ini tentunya bukan kerja yang mudah atau ringan. BN tentunya tidak akan berdiam diri dan membiarkan sahaja kedua-dua DUN ini kekal di tangan PR. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan orang kuat kawasan Pagoh, Muhyidin Yassin sebagai TPM dan berjiran dengan kedua-dua DUN tersebut. Semua tentu yakin BN akan berhabis-habisan untuk menawan kembali kerusi mereka yang terlepas itu.
Dalam kesibukan kempen pilihanraya di Tenang baru-baru ini, ramai juga rakan-rakan yang tertanya-tanya kenapa tidak diketengahkan secara tersusun program bagi menampilkan ahli DUN kedua-dua DUN tersebut ke tengah khalayak pengundi dan sekaligus mempromosi betapa pentingnya wakil PAS dalam Dewan Undangan Johor. Tentunya ini lebih berimpak tinggi dalam politik berbanding dengan hanya membawa kedua-dua ahli DUN ini ke program-program ziarah dan khidmat kesihatan.