Ahad, 29 Mei 2011

Perkukuh Kubu di Johor



Dun Maharani dan DUN Sungai Abong tentunya menjadi anak emas PAS Johor. Kedua-dua DUN ini melakar sejarah dalam perjuangan PAS di negeri tanah tumpah darah UMNO ini pada pilihanraya umum yang lalu. Meskipun DUN Senggarang mencipta sejarah sebagai anak sulung kemenangan PAS di Johor, namun kemenangan di Maharani dan Sungai Abong tentunya suatu kemenangan jantan yang amat bergaya. Kemenangan ini pastinya bukan semata-mata terhasil oleh gelombang perubahan politik di peringkat nasional, malah ianya turut juga dipengaruhi oleh kekuatan jentera pilihanraya Johor di semua peringkat dan tidak ketinggalan juga kerana terserlahnya ketrampilan calon yang dikemukakan oleh PAS.

Sebagai peneroka kemenangan PAS di Johor, tentunya kedua-dua DUN ini layak dinobatkan sebagai kubu kuat PAS di negeri ini. Kalau dulu, kubu kuat PAS di Johor terletak di kawasan-kawasan majority besar Melayu, seperti di Rengit, Endau, Sri Medan dan bebarapa kawasan lagi, namun kemenangan di kedua-dua DUN tersebut barangkali menganjak sedikit perspektif banyak pihak bahawa potensi PAS untuk menang di kawasan kubu Melayu tradisi mereka kelihatan agak sukar. DUN Rengit adalah satu-satunya DUN majority Melayu yang merupakan kubu kuat PAS secara tradisi di Johor yang mencatat penurunan undi yang diperolehi oleh PAS dalam PRU12 lalu berbanding PRU sebelumnya. Kubu tradisi PAS di kawasan Melayu ini memang memiliki kelebihan dari segi kekuatan sokongan ahli yang ramai dan tegar. Namun ini tidak menjamin mereka mampu menarik pengundi yang ramai untuk memberi undi pada PAS. Fenomena ini tentunya menjadi suatu senario baru dalam politik PAS di Johor. Kawasan yang dulunya tidak dilihat sebagai berpontensi untuk PAS menang, kini ternyata mampu meraih kemenangan dan sewajarnya kawasan ini dinobatkan sebagai kubu kuat PAS di Johor.

Gelombang politik di negara kita ternyata ada pasang surut dan ini membawa perubahan-perubahan yang kadang kala sukar dijangka atau diramal. Senario di Tenang, Galas, Hulu Selangor dan di beberapa PRK yang lalu memperlihatkan sikap pengundi yang pelbagai. Kelihatannya seperti sokongan bukan Melayu masih utuh dengan PR dan pengundi Melayu pula lebih banyak memihak kepada BN. Kalau di Tenang pula, meskipun pengundi Cina masih kekal, tetapi pengundi Melayu bandar atau pinggir bandar nampaknya cenderung kembali kepada BN. Pada penulis, senario dan perubahan arus gelombang politik ini perlu diteliti dan ditekuni oleh pimpinan PAS Johor. Kerana saya yakin ianya akan mendatangkan impak kepada kalah menang PAS di Johor dalam PRU yang akan datang. Begitu juga dengan kemampuan bertahan kedua-dua kubu kuat PAS yang kita menangi dalam PRU12 baru lalu.

Pendekatan dan usaha yang lebih mantap, (pada saya patut lebih agresif) perlu dirangka dan dilaksanakan oleh kepimpinan dan jentera PAS untuk memperkukuhkan lagi kedua-dua DUN kubu kemenangan kita di Johor ini. Suhu sokongan pengundi setempat sewajarnya dipantau dan dinilai secara berkala dan berkesan untuk mengenalpasti tahap sokongan serta mengenalpasti dianogsis permasalahan atau ketempangan yang timbul. Usaha penetrasi ke dalam lubuk hati pengundi melayu yang mendiami pinggir bandar atau kampong tradisi di DUN berkenaan amat perlu dilakukan secara tersusun dan berkala. Di samping itu, kemampuan jentera pilinraya tempatan perlu diperkukuhkan. Jentera peringkat negeri tidak sewajarnya merasa selamat dan selesa lalu bersikap sambil lewa dalam usaha ini memandangkan kerja atau jihad mempertahankan kemenangan ini tentunya bukan kerja yang mudah atau ringan. BN tentunya tidak akan berdiam diri dan membiarkan sahaja kedua-dua DUN ini kekal di tangan PR. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan orang kuat kawasan Pagoh, Muhyidin Yassin sebagai TPM dan berjiran dengan kedua-dua DUN tersebut. Semua tentu yakin BN akan berhabis-habisan untuk menawan kembali kerusi mereka yang terlepas itu.

Dalam kesibukan kempen pilihanraya di Tenang baru-baru ini, ramai juga rakan-rakan yang tertanya-tanya kenapa tidak diketengahkan secara tersusun program bagi menampilkan ahli DUN kedua-dua DUN tersebut ke tengah khalayak pengundi dan sekaligus mempromosi betapa pentingnya wakil PAS dalam Dewan Undangan Johor. Tentunya ini lebih berimpak tinggi dalam politik berbanding dengan hanya membawa kedua-dua ahli DUN ini ke program-program ziarah dan khidmat kesihatan.

Sabtu, 16 April 2011

KEMERIAHAN SUKAN PASTI KAWASAN SRI GADING 2011


KEMERIAHAN SUKAN PASTI KAWASAN SRI GADING 2011

SRI GADING, 3 April : Program tahunan sukan PASTI Kawasan Sri Gading sudah menjadi agenda kemestian bagi semua pelajar-pelajar serta guru-guru PASTI yang terlibat dalam acara-acara yang dipertandingkan.  Pada tahun 2011, Sukan PASTI Peringkat Kawasan Sri Gading telah berjaya diadakan pada
29 Rabi’ul Akhir 1432H bersamaan 3 April 2011 iaitu pada hari Ahad bertempat di padang Taman Sri Wangsa, Parit Besar Batu Pahat Johor. Antara acara utama yang dipertandingkan ialah sukan bola sepak dan bola jaring di samping cabutan bertuah yang dihadiahkan kepada ibu bapa dan pihak urusetia yang hadir bagi menjayakan sukan tersebut. Di samping itu juga, terdapat acara-acara sukaneka bagi pelajar-pelajar PASTI, antaranya isi air dalam botol, tarik bola guna gelung, lari sambil kutip gula-gula serta mewarna. Bagi memeriahkan penglibatan sukan PASTI, pihak ibu bapa turut sama terlibat dalam acara-acara seperti baling dart dan bola beracun.  Sukan PASTI pada tahun 2011 telah berjaya menghimpunkan sebanyak 13 buah PASTI bagi seluruh Kawasan Sri Gading dengan seramai lebih 500 orang pelajar serta 35 orang guru PASTI. Dengan adanya program sukan ini, ia dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara seluruh AJK Pengurusan PASTI Kawasan dan juga pihak pengurusan PASTI Cawangan di samping AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan, AJK Dewan Muslimat, guru-guru PASTI serta ibu bapa pelajar PASTI dan masyarakat sekeliling. Ucapan penghargaan dan tahniah juga diucapkan kepada Pengarah Program, Sdr Md Ezam bin Taslim merangkap Penolong Setiausaha PASTI Kawasan serta AJK pelaksana yang terlibat dalam perjalanan majlis ini. Dalam acara utama yang telah dipertandingkan, pasukan PASTI Al-Uwaeis telah diumumkan sebagai juara bola sepak peringkat Kawasan manakala pasukan PASTI Al-Ghazali pula diumumkan sebagai juara bola jaring. Majlis ini juga telah disempurnakan perasmiannya oleh Sdr Mohd Alias bin Sabu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sri Gading merangkap Penasihat PASTI Kawasan. Turut memeriahkan majlis ialah kehadiran YDP PAS Kawasan Sri Gading, Ust Hashim bin Jusoh serta barisan kepimpinan PAS Kawasan. Sekalung tahniah juga diucapkan buat guru-guru PASTI  yang dedikasi melatih anak-anak murid. Sekali lagi tahniah buat ibu bapa dan penjaga yang terlibat sepanjang majlis berlangsung. 
  
Majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sri Gading, Sdr Mohd Alias bin Sabu

Keadaan suasana perbarisan pelajar PASTI melibatkan 13 buah PASTI dalam Kawasan Sri Gading

Kelihatan pelajar-pelajar PASTI yang telah bersiap sedia bagi acara sukaneka

Kelihatan pelajar-pelajar PASTI yang terlibat dalam acara pertandingan bola jaring

Antara aktiviti-aktivit sukaneka yang dipertandingkan

Suasana acara pertandingan bola sepak yang dipertandingkan

Piala Pertandingan Bola Sepak dan Bola Jaring yang dipertandingkan

Keadaan suasana kehadiran pengunjung di padang khemah
















Rabu, 2 Mac 2011

RENUNGAN DARI BOB LOKMAN

Dipetik dari blog Bob Lokman

Setelah aku melalui segala jalan syahwat, ALLAH memberikan aku gambaran AKHIRAT. Maka aku mula berjalan mencari kebenaran dan semalam 16 Rabi'ul awal, aku melangkah masuk kedalam gerbang hijau yg bertonggakkan Ulama' yg sangat ditakuti oleh pencinta dunia.
Mengalir airmata bila borang ahli disambut oleh DS Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah. Biar pun aku bukan sesiapa dikalangan orang PAS, tapi aku dapat merasakan kehangatan persaudaraan yg dihulurkan oleh mereka. Aku menjadi insaf dikalangan anak2 muda PAS yg rugged tapi ikhlas dalam perjuangan dan aku merasa amat malu diperhatikan oleh mereka bilamana aku merasa seperti seluruh hidup aku sebelum ini diselubungi syahwat keduniaan hingga aku merasa aku teramat tua dikalangan mereka. Terlintas juga dibenak ku, mungkin kerana anak2 muda inilah orang bijak pandai seperti Mahathir menolak PAS.

Biarlah tua, biarlah bertongkat, tapi sekarang aku tahu ALLAH maha pengampun dan penyanyang. Maka oleh kerana itu aku akan patuh kepada kehendak ALLAH dalam ayat 104 Surah Aali-Imran. PAS akan aku jadikan wadah perjuangan utk mempopularkan ALLAH kepada mereka yg belum kenal akan kekuasaanNYA. Aku jadi insaf betapa aku yg lahir dalam keluarga Islam keturunan Ulama', terabai dengan kefahaman Islam yg pernah diterapkan kedalam jiwaku. Apatah lagi mereka yg tidak pernah tahu mengenai Islam, bagaimana mereka akan merasa takut pada ALLAH. Utk itu sekali ini aku akan terus bercerita kepada sesiapa sahaja sesuatu yg membuatkan mereka bertaqwa kepada ALLAH. 

Lagikan setiap ibu bapa sayangkan anak2 yg dilahirkan, inikan pula ALLAH yg menciptakan kita dan segalanya. Biar pun Iblis dan yahudi memang dilaknat oleh ALLAH, namun satu masa dahulu mereka adalah hamba ALLAH yg baik. selepas itu dengan takdir ALLAH mereka dijadikan sebagai contoh buruk kepada sesiapa yg tidak bertaqwa kepada ALLAH. Ini Kuasa ALLAH. kalau tiada keburukan kita tidak pandai menilai kebaikan sebagai mana kalau tiada ketaqwaan maka tiadalah kita mengerti bahawa ALLAH itu maha diatas segalanya.
Hari ini  bila jiwa berada didalam PAS, ada satu semangat baru yg membuatkan aku berfikir mengapa ALLAH menjadikan aku. Pagi tadi bila ada member2 yg bertanya, mengapa aku menganut PAS, aku tahu bahawa aku sudah diterima utk bekerja oleh ALLAH. Inilah masanya untuk berubah dan mengubah sebahagian besar kenalan, kepada jalan baru bagi mereka yg fasiq. Belum ramai yg menerima Islam sebenar. Kalau tidak sudah tentu Malaysia diperintah oleh Ulama'. Masalahnya siapa yg Islam dalam orang Melayu? Utk mereka yang mencari jawapan bacalah Sirah Rasulullah berulang kali, maka kita akan nampak siapa Abu Bakar, siapa Abu Jahal dan siapa Abdullah bin Ubai dalam bangsa Melayu. Kerana itulah aku memohon utk masuk PAS. Lepas ni kita akan baca ada yg marah dgn apa yg aku kata. Itu biasa, sebagaimana ada orang yg marahkan harimau membunuh lembu. Ini kerana kita tidak mengerti SUNNATULLAH. Kalau kita susah di dunia, kita lupa bahawa itu kehendak ALLAH, apatah lagi bila kita mewah.

Sudah berkali-kali PAS kalah dalam pilihanraya. Memang susah nak menang kerana ini bukan perang Badar dimana Malaikat juga turun berperang dengan perintah ALLAH. Janganlah mengharapkan Malaikat turun beratur dipusat2 mengundi yg diadakan oleh suruhan jaya pilihan raya yg tidak mengikut suruhan ALLAH. Ini demokrasi omputeh yang memberikan peluang kemenangan kepada org yg mempunyai syahwat duniawi. Kerana itu perlunya kita memperkenalkan Islam adalah sistem terbaik utk mentadbir dunia kepada manusia Malaysia. Ini adalah kerana ramai manusia lupa bahawa ALLAH yg mencipta dunia dan hanya hukum ALLAH sahaja yg sesuai dilaksanakan. Mereka yg menolak selalunya mereka yg tidak tahu apa hukum ALLAH. Selalunya mereka ditakutkan oleh yahudi yg memang mengetahui apa isi Al Quran dan mereka telah tahu lebih awal melalui Taurat bahawa Islam itu perfect dan mereka tidak mahu kita menjadi ummat Muhammad. Maka kita akan luput dari mendapatkan Syufaat Rasul dipadang Mahsyar nanti.

Dan kali ini aku bersedia utk berjuang dengan PAS, dan aku bersedia untuk kalah setelah menjalankan segala syarat2 perjuangan. YA ALLAH, BERIKAN KEMENANGAN KEPADA PAS, SEKIRANYA MEREKA LAYAK UNTUK MENERIMA HADIAH KEMENANGAN DARI MU, DEMI ISLAM BERKEMBANG SUBUR DI BUMI MALAYSIA YG DULU TERIKAT DGN PERIKATAN DAN KINI KAKU DALAM BARISAN.

GAMBAR - GAMBAR SIRI PERTAMA EDARAN AGIHAN SUMBANGAN MANGSA BANJIR - 15 FEB 2011





Isnin, 28 Februari 2011

SIRI KE-2 EDARAN AGIHAN SUMBANGAN MANGSA BANJIR - 27 FEB 2011

SRI GADING, 27 Feb:  Program edaran agihan sumbangan mangsa banjir siri ke-2 anjuran Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Kawasan Sri Gading telah berjaya diadakan bermula selepas kuliah du'ha di mana beberapa orang AJK Dewan Harian Pemuda PAS Kawasan Sri Gading serta dipimpin oleh Ust Hashim Jusoh selaku YDP PAS Kawasan Sri Gading dan AJK PAS Kawasan. Seperti yang telah dirancang, kesemua barang-barang yang telah dikumpulkan akan diagihkan mengikut cawangan-cawangan yang telah disenaraikan. Antara cawangan yang telah dikenalpasti iaitu cawangan Tongkang Pechah. Menurut Pengarah Program selaku Pengarah Jabatan Amal DPPKSG, Sdr Nor Azrin Hj Sakib, program ini adalah lanjutan daripada siri 1 agihan sumbangan yang telah diadakan pada 15 Februari yang lalu di mana sebanyak 21 penerima bungkusan agihan telah disampaikan. Pada program tersebut, ia telah dipimpin oleh Sdr Alias bin Sabu selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sri Gading.

Pada siri ke-2 ini, program pengagihan telah disenaraikan seramai 19 orang penerima iaitu di cawangan Tongkang Pechah. Proses pengagihan telah berjalan dengan lancar dan teratur mengikut jadual pengagihan. Program telah tamat pengagihan sejurus selepas solat Zuhur. Justeru itu, pihak AJK Dewan Harian DPPKSG amat berterima kasih kepada pihak AJK PAS Kawasan dan juga pihak AJK Pemuda PAS Cawangan Tongkang Pechah kerana telah bekerjasama dalam menguruskan program ini. 
 



 

Jumaat, 4 Februari 2011

Isu Nasionalisme : Jawapan TGNA kepada Tun Mahathir

TGNA: Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :

وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ

Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :

فرقت به جماعتهم!

Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT. Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

Sekian.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011