Khamis, 27 Mei 2010

An Nakbah



Nakbah bermaksud malapetaka atau bencana besar. Nakbah Palestin (يوم النكبة - Hari al-Nakbah) pula merujuk kepada penubuhan negara haram Israel yang telah diisytiharkan secara rasminya pada 15 Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.

Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800 ribu orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,''Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya. Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan, penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.

Mereka sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.

Jenayah ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis. Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang mendalam di kalangan rakyat Palestin, orang-orang Arab dan umat Islam secara keseluruhannya sehingga ke hari ini.

Kini 60 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan negara Palestin terus diganyang Yahudi Zionis sehinggakan:

1. Rejim Zionis terus melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini Yahudi telahpun merampas dan menguasai kira-kira 90 peratus dari keseluruhan bumi Palestin.

2. Peningkatan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian kiblat pertama umat Islam dalam rangka mereka mengyahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al-Aqsa dan mendirikan kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang.

3. Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Di kalangan mereka adalah orang tua, kanak-kanak malahan juga wanita yang hamil lagi sakit.

4. Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.

5. Ramai di kalangan kanak-kanak Palestin dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah hanya peratusan yang sangat kecil.

6. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 kilometer di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.

7. Dijangkakan seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 60 tahun lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai dalam sejarah peradaban dunia.

8. Rejim Zionis kini berterusan menyiksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui pemimpin kanan mereka sebagai holocaust yang lebih hebat.

Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Sudah tentulah ia tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Fakta-fakta sejarah, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa amat memihak kepada rakyat Palestin yang berhak memiliki ketuanan dan kedaulatan di bumi mereka sendiri.

Rejim Zionis Israel kini mendapati bahawa mereka tidak boleh mengawal keadaan rakyat dan negara Palestin. Malah mereka terpaksa membuat pelbagai pendekatan yang keras mahupun dengan cara berkompromi untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat Palestin. Mereka menggunakan pelbagai strategi terutamanya dengan mempengaruhi sekutu kuat mereka iaitu Amerika Syarikat untuk menangani permasalahan yang terus berpanjangan.

PBB dan masyarakat antarabangsa yang sentiasa memperjuangkan keadilan semestinya teguh dalam membuat pendirian dan tidak dipengaruhi oleh lobi Yahudi Zionis di dalam membuat dan melaksanakan keputusan-keputusan mereka. Kependudukan dan negara Palestin mesti dikembalikan kepada pemilik asal yang sah.

Bumi Palestin adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana di situlah letaknya Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj, Tanah Suci umat Islam yang ke tiga yang juga merupakan bumi para Nabi. Isu Palestin bukanlah sekadar isu untuk orang Palestin atau orang Arab sahaja. Bahkan isu ini adalah isu penting yang berkaitan dengan keimanan untuk semua umat Islam di seluruh dunia.

Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini. Negara-negara Islam perlu berani dan ikhlas membantu terutamanya dari segi kemanusiaan setelah ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban dalam krisis yang berlarutan sekian lamanya.

Kefahaman mengenai isu ini masih perlu diperluaskan lagi di kalangan masyarakat Malaysia. Sumbangan kemanusiaan pula mesti dipergiatkan bagi membantu rakyat Palestin yang telah sekian lama tertindas. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Malaysia seharusnya menjuarai isu sejagat ini, bukan sahaja di kalangan kita bahkan di persada antarabangsa. Persoalannya, adakah kita telah berbuat sesuatu bagi meringankan beban dan kesengsaraan yang mereka alami selama ini?

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sumber: utusan.com.my

Rabu, 26 Mei 2010

DEMONTRASI K.E.J.I

Lokasi      : Masjid Amaniah, batu Caves, Gombak.
Masa        : 2.00 Petang.
Hari          : Jumaat
Tarikh      : 28 Mei 2010

Khamis, 13 Mei 2010

DEMO BANTAH JUDI SUKAN BOLA SEPAK

Sama-sama menyatakan pendirian kita untuk membantah kegiatan judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010.


Tempat : Masjid Jamek Sultan Ismail, Batu Pahat, Johor.
Tarikh   : 14 Mei 2010
Hari      : Jumaat
Masa    : Selepas Solat Jumaat.

Nyatakan bantahan kita bersama-sama dengan Dewan Pemuda Pas Negeri Johor.

Isnin, 10 Mei 2010

MALAYSIA BUKAN MASYARAKAT JUDI

'M'sia bukan masyarakat judi'
Dr Mohd Asri Zainul Abidin | Mei 9, 10 5:52pm   

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa 'tindakan pemerintah terikat dengan maslahah'. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri. Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi'i r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair). Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?! Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima. Al-Quran menyebut: (maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219). Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima. Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau 'kebanggaan hidup kami'. Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang. Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat 'hisap candu berlesen' untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen? Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

7. Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!



Selasa, 4 Mei 2010

Pelaku Maksiat, Hidup Tidak Tenang

Pelaku Maksiat, Hidup Tidak Tenang


3087217226_b223a09be4_o

Dipetik dari blog yang sangat cool & bermanfaat:
http://ohislam.com/
*Ditujukan kepada diri sendiri, orang-orang yang sangat kusayangi, & semua yang membaca…
Tajdid Iman:
Bersama Dr Juanda Jaya
Manusia dicipta untuk bertarung lawan kejahatan, sabar lakukan kebaikan
MENGAPAKAH al-Quran banyak menyebutkan tentang kisah-kisah pelbagai kaum yang berakhir dengan kehancuran? Ia adalah supaya manusia sentiasa beringat bahawa segala bentuk kejahatan itu adalah warisan kehancuran yang mesti ditinggalkan. Jenayah homoseksual adalah peninggalan kaum Nabi Lut, kesombongan dan kezaliman adalah budaya Firaun, manakala gaya hidup bermegah-megah dan melampau telah dipelopori oleh kaum Nabi Hud. Penolakan terhadap seruan iman pula telah berlaku semenjak diutuskan Nabi Adam AS seterusnya berlanjutan hingga kerasulan Muhammad SAW.
Orang yang berasa dirinya suci kadang-kadang memandang orang lain dengan pandangan hina. Mereka sepatutnya memahami hakikat bahawa tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang terlindung daripada kejahatan dirinya sendiri melainkan Nabi dan Rasul-Nya. Kerana aura kejahatan itu merebak di setiap sudut dan ruang dalam kehidupan sehari-hari. Hanya orang beriman saja yang boleh selamat, iaitu mereka yang memiliki sikap sentiasa berjaga-jaga dan waspada terhadap amal perbuatannya yang mudah dicemari oleh unsur-unsur kejahatan.
Sepertimana sikap Umar bin al-Khattab RA yang amat berhati-hati dengan gangguan kejahatan pada dirinya sendiri. Beliau bertanya kepada seorang sahabat:
Apakah yang dimaksudkan dengan takwa?” Sahabat menjawab: “Pernahkah kamu melewati satu jalan yang dipenuhi duri-duri yang tajam? Pasti kamu akan berhati-hati melaluinya supaya tidak terpijak duri-duri itu. Begitulah keadaan orang yang bertakwa, dia sentiasa beringat dan menjaga dirinya daripada kejahatan dan maksiat yang boleh membahayakan iman.”
Kebaikan dan kejahatan memberi kesan dan pengaruh pada setiap pergerakan manusia. Abdullah bin Abbas pernah berkata:
Kebaikan memiliki cahaya pada wajah dan hati, melapangkan rezeki, menguatkan badan dan disukai setiap makhluk Allah SWT. Sedangkan kejahatan mengakibatkan kegelapan pada wajah dan hati, lemahnya badan, sempitnya rezeki dan kebencian di hati setiap makhluk.”
Kebaikan dan kejahatan ini akan hidup sepanjang hayat manusia dan terkubur bersama jasadnya ketika mati.
Begitulah hakikat diri kita dicipta hanya untuk bertarung melawan kejahatan dan bersabar melakukan kebaikan. Segala sesuatu yang kita lakukan tidak pernah terlepas dari dua kutub yang saling tarik menarik; kejahatan dan kebaikan. Kedua-duanya memberi kesan terhadap perasaan, pemikiran dan pergerakan kita setiap hari.
Apakah kesan maksiat yang dapat dirasa dalam hati dan peribadi?
Kita memerlukan kejujuran untuk menjawabnya. Benarkah kata-kata Ibnu Abbas di atas?
  • Kegelapan di dalam hati
Hati yang suram angkara maksiat tidak mampu menangkap cahaya kebaikan. Apabila maksiat itu telah menjadi darah daging, akibatnya tidak terdetik pun rasa takut melakukan maksiat itu. Hatinya hilang rasa, tidak sensitif dan ragu-ragu lagi melakukan maksiat. Yang paling teruk apabila dia menganggap maksiat itu adalah kebaikan. Atau menilainya sebagai perbuatan yang dimaafkan kerana rahmat Allah Taala. Buta hati! Begitulah keadaan orang yang akhirnya menganggap kejahatan sebagai suatu kebaikan sepertimana dalam firman Allah yang bermaksud:
Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
– (Surah al-Kahfi: Ayat 103-104)
Tetapi seorang hamba Allah yang beriman amat sensitif hatinya terhadap dosa seakan-akan melihat dosa yang ringan ibarat gunung yang akan menghempapnya. Alangkah dahsyatnya kesan melakukan maksiat, tak kira yang ringan dan kecil sekalipun. Kerana dosa besar itu bermula dari melakukan yang kecil. Zina bermula dari pandangan mata dan senyuman, kemudian berkenalan yang melahirkan rindu dan mahu sentiasa bersama. Bermula menyentuh kulit tanpa sengaja akhirnya ingin memegang dan bersatu jiwa dan raga.
Begitu pula penipu kelas jerung sememangnya telah terbiasa melakukan penipuan kelas bilis, sedikit demi sedikit hingga tidak terasa bahangnya dosa dan maksiat yang telah sebati dalam jiwanya. Betapa pentingnya kita menjaga perkara-perkara yang kecil kerana ia boleh membesar secara senyap. Dosa besar bermula dari melakukan dosa kecil. Semua ini menyumbang kepada kegelapan di hati. Bagaimana mungkin rahmat Allah SWT jatuh di hati yang gelap, kotor dan busuk. Melainkan dengan ketentuan-Nya siapapun boleh diselamatkan jika Allah Taala berkehendak.
  • Kegelapan di wajah
Pelaku maksiat sentiasa diikuti bayang-bayang dosa dan rasa bersalah. Hatinya tidak tenang, wajahnya pula menyimpan kesusahan dan kegelisahan. Walaupun di hadapan orang ramai semua itu boleh disembunyikan tetapi dia akan sampai pada tahap tidak boleh menyembunyikan aibnya lagi. Ketika itu Allah Taala telah menyingkap hijab dirinya dan terbukalah segala cacat cela di hadapan manusia. Jika pandangan orang telah menghina dan memburukkan diri kita akibat perbuatan kita sendiri maka kita tidak akan mampu menampakkan keceriaan dan seri pada wajah. Yang tinggal hanya kesedihan, rasa bersalah dan gelisah akibat maksiat yang merendahkah maruah diri sendiri.
  • Sempitnya rezeki dan kebencian orang lain
Ummul Mukminin Aisyah RA pernah menuliskan surat kepada Khalifah Muawiyah RA yang berisi:
Ketahuilah orang-orang yang telah melakukan maksiat kepada Allah, maka orang yang memujinya berbalik akan mencelanya.”
Seorang pemimpin negara seperti Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan RA sentiasa menjadi tumpuan rakyatnya. Oleh itu Aisyah RA berwasiat agar sentiasa sang khalifah menjaga hubungannya dengan Allah Taala dan jangan sekali-kali bermaksiat kepada-Nya kerana perbuatan maksiat itu akan mempengaruhi setiap keputusan sang khalifah dalam mentadbir negara. Seterusnya memberi kesan kepada rakyat, adakah mereka memuji atau membencinya?
Tiada seorangpun manusia yang suka melihat kejahatan berleluasa. Sekecil apapun kejahatan tetap kejahatan dan membawa bala kepada orang lain. Seperti seorang Muslim yang melihat Muslim lain meletakkan keretanya di tepi jalan yang mengganggu jalan kenderaan lain akan merasa benci dengan perbuatan saudaranya itu. Kejahatan bermula dari perkara yang kecil, akhirnya membawa kepada kejahatan lain. Pertengkaran dan buli di atas jalan raya boleh terjadi dan akhirnya menumpahkan darah.
Bagaimana pula orang yang dibenci itu boleh bermuamalat dengan orang lain, sedangkan peniaga yang berakhlak buruk tentulah akan dijauhi. Begitu pula dengan orang yang suka menahan rezeki saudaranya, apatah lagi mendengki, ibarat mahukan milik orang lain, yang di tangan sendiri pasti akan terlepas. Tiada keberkatan dalam rezekinya dan dia kehilangan kasih sayang daripada saudara-saudaranya seiman.
Al-Imam al-Syafie pernah mengeluh dan bersedih menanggung kesan dan akibat maksiat yang beliau rasakan dalam hatinya, beliau mengadu kepada Waki’ (salah seorang guru al-Syafie) dalam untaian syairnya:
Aku mengadu kepada Waki’mengenai buruknya hafalanku; beliau memberi petunjuk kepadaku agar aku meninggalkan maksiat; Beliau berkata: Ketahuilah bahawa ilmu adalah cahaya; sedangkan cahaya Allah tidak mungkin diberikan kepada pelaku maksiat.”