Sabtu, 20 Februari 2010

PENGUMUMAN!!


Gangguan bekalan air

Rabu, 17 Februari 2010

Presiden PAS, keluarga selamatkan orang lemas



MARANG, 17 Februari: Bukan sahaja menyelamatkan aqidah umat tetapi sudah sampai kepada menyelamatkan nyawa manusia. Itulah yang dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama keluarganya apabila menyelamatkan nyawa seorang yang lemas di Pantai Rusila berhampiran rumahnya.

(Gambar atas: Abdul Hadi keletihan selepas menyelamatkan mangsa lemas)

Ia berlaku pada 14 Februari lalu kira-kira jam 6.30 petang di Pantai Rusila, Marang iaitu berhampiran dengan rumahnya.

"Hari itu, lepas solat Asar, Tok Guru pergi mengail di pantai depan rumahnya. Tiba-tiba dia tengok orang sedang terkapai-kapai lemas. Dia terus suruh anaknya terjun ke laut dan dia bersama-sama menarik orang itu," cerita Haji Omar, Pengerusi Masjid Rusila, yang terletak di sebelah rumah Abdul Hadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Pak Mat Jaga, kata Haji Omar, adalah penduduk Kampung Belubor, iaitu kampung berhampiran pantai Rusila itu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, Abdul Hadi bersama dengan anaknya iaitu Abdul Rahman dan Khalil serta menantunya Zaharudin sedang memancing di pantai itu.

Mereka berkumpul sambil memancing sementara menunggu untuk menyembelih kambing untuk aqiqah cucu Abdul Hadi.

Tiba-tiba mereka mendengar seorang wanita berteriak 'orang lemas...orang lemas' sambil menunjukkan tangannya ke laut.

Menurut Abdul Rahman, 28, anak Abdul Hadi, ayahnya terus menyuruh beliau terjun ke laut dan menyelamatkan mangsa lemas itu.

"Saya terus ambil pelampung dan terjun ke dalam laut...saya cuba campakkan pelampung itu kepadanya tetapi tidak berjaya kerana ombak besar pada ketika itu. Saya kemudian tarik tangan beliau. Abang Khalil dan Zaharudin datang membantu dan menyeret ke pantai.

"Ayah kemudian turun ke dalam air bersama-sama kami memapah mangsa itu ke pantai," cerita Abdul Rahman kepada Harakahdaily.

Seorang penduduk tempatan yang kebetulan ada di situ telah merakamkan gambar keadaan Abdul Hadi bersama mangsa yang diselamatkannya dan memasukkannya dalam facebook beliau. Gambar itu kemudiannya tersebar ke marata-rata.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Shamsuddeen membuat catatan berikut dalam blognya:

"Dalam usia 63 tahun, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang masih gagah dan pantas untuk menyelamatkan seorang pengunjung yang lemas di Pantai Rusila, Marang. Kejadian berlaku pada hari Ahad, 14 Februari baru-baru ini.

Pada saya, beliau adalah seorang ulama’ yang segani, pemimpin yang dihormati, dan hero yang tidak perlukan undangan atau dipuja…Kehidupan
beliau amat sederhana, rutinnya tidak jauh berbeza seperti rakyat biasa. Memang suka berdamping dengan rakyat.

"Semoga Allah panjangkan usia beliau dan merahmati kepimpinannya."

Zaihan Daud, Setiausaha Peribadi Abdul Hadi juga mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, mangsa lemas yang diselamatkan itu, Ahamad Mat Zin, 58, (Gambar)bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Presiden PAS dan keluarga yang telah berusaha membantunya.

Menurutnya, pada mulanya dia mandi di kawasan biasa tetapi tiba-tiba dipukul ombak besar.

Beliau menjangkakan sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh 10 minit selepas diberi bantuan oleh keluarga Presiden PAS itu, mungkin sesuatu yang buruk berlaku kepadanya kerana sudah tidak bermaya lagi.

Selasa, 16 Februari 2010

Mokhzani Mahathir antara 20 terkaya di M'sia



Datuk Mokhzani Mahathir - anak mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad - tersenarai dalam 20 orang terkaya di Malaysia, demikian menurut hasil kaji selidik majalah Malaysian Business.


Sehingga 15 Januari lalu, Mokhzani dari Kencana Petroleum, disenaraikan dengan kekayaan sebanyak RM1.075 bilion untuk menduduki tangga ke-20 orang terkaya di Malaysia.

Jutawan Melayu lain yang disenaraikan ialah Tan Seri Syed Mokhtar AlBukhary dari Yayasan AlBukhary, dengan kekayaan sebanyak RM6.01 bilion di tangga ke tujuh.

Manakala Tan Sri Azman dari Arab-Malaysian Corp di senaraikan di tangga ke-11 denan kekayaan se banyak RM2.8 bilion.

Datuk Seri Nazir Razak - adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - dari Kumpulan CIMB, turut disenaraikan antara 40 orang terkaya di Malaysia.

Sementara itu, Bernama melaporkan, menurut kaji selidik Malaysian Business, kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia mencatat peningkatan terkumpul bernilai RM156.7 bilion pada 15 Januari atau 63 peratus lebih RM96.3 bilion, berikutan pemulihan dalam pasaran saham.


Bagaimanapun, menurut kenyataan majalah itu yang dikeluarkan hari ini, kekayaan terkumpul mereka masih kurang daripada RM171.9 bilion yang direkodkan pada 2008.


Penanda aras FBM KLCI telah meningkat 44.3 peratus sejak kaji selidik terakhir ketika masyarakat dunia berusaha bangkit semula berikutan krisis kewangan global.


Senarai penuh 40 orang terkaya dan maklumat mengenai kekayaan mereka telah diterbitkan dalam majalah itu dalam keluaran 16 Februari. Seperti tahun lepas, kekayaan 40 teratas itu dinilai berdasarkan kepada nilai saham mereka di dalam syarikat yang tersenarai pada 15 Jan tahun ini.


Kaji selidik itu juga menunjukkan hampir separuh daripada senarai yang tercatat tahun ini melonjak 50 peratus atau lebih.


Ada lebih jutawan tahun ini - 22 orang iaitu lebih lapan orang berbanding tahun lepas.


Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkotanya "Raja Gula" tahun lepas, masih mendahului senarai dengan kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.


Hartawan telekomunikasi Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.


Tan Sri Lee Shin Chen dari IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86 bilion.


Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya Tan Sri Lim Goh Tong.


Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion.


Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.


Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng dari KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura, Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings, yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun.


Tan Sri Robert Kuok Hock Nien (Kerry Group/Kuok Group) RM42.76 bilion
2) Tan Sri T. Ananda Krishnan (Usaha Tegas) RM27b
3) Tan Sri Lee Shin Cheng (IOI Group) RM11.92b
4) Tan Sri Teh Hong Piow (Public Bank) RM10.86b
5) Tan Sri Lim Kok Thay (Genting Group) RM10.38b
6) Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong Group) RM7.09b
7) Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (Al-Bukhary Foundation) RM6.01b
8) Puan Sri Lee Kim Hua (Genting Group) RM4.4b
9) Tan Sri Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau) RM3.5b
10) Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (Berjaya Group) RM3.2b