Isnin, 28 Februari 2011

SIRI KE-2 EDARAN AGIHAN SUMBANGAN MANGSA BANJIR - 27 FEB 2011

SRI GADING, 27 Feb:  Program edaran agihan sumbangan mangsa banjir siri ke-2 anjuran Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Kawasan Sri Gading telah berjaya diadakan bermula selepas kuliah du'ha di mana beberapa orang AJK Dewan Harian Pemuda PAS Kawasan Sri Gading serta dipimpin oleh Ust Hashim Jusoh selaku YDP PAS Kawasan Sri Gading dan AJK PAS Kawasan. Seperti yang telah dirancang, kesemua barang-barang yang telah dikumpulkan akan diagihkan mengikut cawangan-cawangan yang telah disenaraikan. Antara cawangan yang telah dikenalpasti iaitu cawangan Tongkang Pechah. Menurut Pengarah Program selaku Pengarah Jabatan Amal DPPKSG, Sdr Nor Azrin Hj Sakib, program ini adalah lanjutan daripada siri 1 agihan sumbangan yang telah diadakan pada 15 Februari yang lalu di mana sebanyak 21 penerima bungkusan agihan telah disampaikan. Pada program tersebut, ia telah dipimpin oleh Sdr Alias bin Sabu selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sri Gading.

Pada siri ke-2 ini, program pengagihan telah disenaraikan seramai 19 orang penerima iaitu di cawangan Tongkang Pechah. Proses pengagihan telah berjalan dengan lancar dan teratur mengikut jadual pengagihan. Program telah tamat pengagihan sejurus selepas solat Zuhur. Justeru itu, pihak AJK Dewan Harian DPPKSG amat berterima kasih kepada pihak AJK PAS Kawasan dan juga pihak AJK Pemuda PAS Cawangan Tongkang Pechah kerana telah bekerjasama dalam menguruskan program ini. 
 



 

Jumaat, 4 Februari 2011

Isu Nasionalisme : Jawapan TGNA kepada Tun Mahathir

TGNA: Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :

وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ

Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :

فرقت به جماعتهم!

Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT. Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

Sekian.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

Khamis, 16 Disember 2010

menjelajah menerusi takwim hijrah

Hijrah merupakan satu istilah yang biasa dengan umat Islam terutamanya ia terkenal dengan Maal Hijrah, andaikata tidak ditetapkan Maal Hijrah itu adakah kita mengingati takwim hijrah..bulannya mahupun tahun hijrah. Kebiasaannya kita mengingati takwim Islam apabila berlakunya peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam Islam contonya yang terdekat iaitu Rabiulawal dimana berlakunya peristiwa kelahiran Nabi Muhammad Sollallahu A'laihi Wassalam...kemudian Nisfu Syaaban....seterusnya yang paling di ingat ialah Ramadhan kerana mengejarkan Syawal(Hari Raya). Itu antara muqaddimah sesi ceramah Maal Hijrah yang berlangsung di dataran Musollah Bandar Putera Indah yang telah disampaikan oleh Ustaz Azlisham (Timbalan DUP Johor) pada 16 Disember.
Menelusuri sejarah wujudnya takwim Islam bermula pada zaman Nabi Muhammad lagi dan diteruskan sehingga kepimpinan Sayidina Abu Bakar. Takwim yang digunapakai terhad kepada hari dan bulan tetapi pada zaman Amirul Mukminin Sayidina Umar Al-Khattab telah menambah 'tahun' sebagai pelengkap suratan-suratan atau dokumen-dokumen pada masa itu. Sebelum itu Sayidina Umar memanggil pembesar dan sahabat-sahabat untuk membicangkan sumber tahun tersebut. Cadangan pertama ialah mengikut kelahiran nabi(Nubuwwah), keduanya bermula pada tahun kenabian nabi(Miladiah) dan cadangan ketiga dari peristiwa hijrah nabi(Hijriyah) maka cadangan ketiga dipilih. Tetapi malangnya umat Islam kini telah menerima pakai dan lebih mengingati takwim Masihi....adakah kita juga dijajah menerusi takwim?
Ustaz juga menerangkan ciri-ciri orang Ansor iaitu yang menetap di Madinah dan telah sampai Islam kepada mereka dan kita perlu petimbangkan ciri-ciri ini dalam diri kita. Pertamanya mereka mencintai orang yang berhijrah ditempat mereka. Tetapi sekarang yang berlaku umat Islam telah disempadankan menerusi negara-negara. Kita mengatakan orang Indonesia yang masuk ke negara kita sebagai pendatang asing walaupun mereka saudara seIslam. Keduanya mereka tidak menaruh keinginan dalam hati terhadap apa yang diberikan kepada Muhajirin. Sehinggakan sanggup menceraikan isteri(suami yang mempunyai isteri lebih dari seorang) mereka untuk dikahwinkan kepada Muhajirin. Ketiganya, mereka mengutamakan orang Muhajirin lebih dari diri mereka sendiri. Maka tuan puan, insafilah dan bermuhasabahlah tentang diri kita supaya kita mencapai kurnia dan keredhaanNya.Wallahua'lam
Di atas adalah sebahagian dari sesi ceramah tersebut.

Khamis, 9 Disember 2010

PEMBUKAAN PENGAMBILAN MURID PASTI 2011

PEMBUKAAN PENGAMBILAN MURID PASTI 2011
MAKLUMAT AM PASTI KAWASAN SRI GADING


PEJABAT PENGURUSAN PASTI KAWASAN SRI GADING
No. 1, Jalan Bunga Raya, Taman Bunga Raya,
Parit Raja, 86400, Batu Pahat, Johor

Tel : 07-4532462       H/p : 019-2110107


Terdapat 13 buah PASTI di Kawasan Sri Gading iaitu :-

  • PASTI Al-Uwaeis – Taman Universiti
(Tel : 019-7942634 / 013-7704501)

  • PASTI Al-Farabi – Pekan Pt Raja
(Tel : 013-7233800)

  •  PASTI An-Nur – Pt Daun, Pt Raja
 (Tel : 013-7542054)

  •  PASTI Pintar – Pt Raja Darat
 (Tel : 019-7371961)

  •  PASTI Hassan Al-Banna – Panchor
 (Tel : 013-7221600 / 0127351182)

  •  PASTI Nur Hidayah – Pt Yaani
 (Tel : 013-7234651)

  •  PASTI Al-Firdaus – Kg Baru, Sri Gading
 (Tel : 013-7755600)

  •  PASTI Nik Abdul Aziz – Parit Besar
 (Tel : 013-7434530)

  •  PASTI Nur Alddin – Parit Selulun
 (Tel : 07-4152830)

  •  PASTI Al-Ghazali –Pt Rasipan, Parit Raja
 (Tel : 013-7771219)

  •  PASTI Hamka – Tongkang Pechah
(Tel : 019-7417773)

  •  PASTI Nur Iman – Sri Gading
 (013-7234909)

  •  PASTI Perwira – Pt Imam
 (013-7124100)
*Sila hubungi nombor-nombor seperti yang tertera untuk sebarang pertanyaan dan pendaftaran.

Ahad, 5 Disember 2010

Doa awal dan akhir tahun


assalamu'alaikum,


berikut adalah artikel yang saya ambil daripada laman web "http://web.islam.gov.my" insyaAllah sedikit sebanyak kita dapat menimba ilmu daripada artikel tersebut.

QUOTE:

PENDAHULUAN 

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Yang menciptakan alam ini tanpa sedikit kecacatan. Yang menjadikan manusia dengan penuh sifatnya. Maha Besar Allah, Tuhan semesta alam. 

Selawat dan salam semoga terlimpah pada Rasul mulia, junjungan kita Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya, dan para penerusnya yang mengikuti mereka sehingga kiamat. 

Wahai sahabat-sahabatku se-Islam sekalian, takutlah akan Allah. Bertawakallah kepadaNya. Bersama-samalah kita saling ingat-mengingati ke arah kebenaran. Semoga tergolong di dalam golongan yang telah dijanjikan Allah kemualiaan di sisiNya. Insya Allah. 

Doa merupakan satu anugerah Allah yang telah dikurniakan kepada kita. Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah saw yang sahih berkisar mengenai doa ini. Bahkan Allah telah menyediakan pula waktu-waktu mustajab untuk kita berdoa. Namun kita mesti juga akur bahawa segala ibadat yang kita lakukan mestilah berlandaskan dalil yang kukuh dan bukannya akal semata-mata. 

Allah berfirman yang bermaksud: 
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah saw itu tauladan (contoh ibadat) yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat serta dia banyak mengingati Allah.” 
Surah Al-ahzab ayat 21 

Allah juga telah berfirman: 
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu buat kamu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku atas kamu, dan telah Aku redhai Islam menjadi agamamu.” 
Surah Al-Maidah ayat 3 

Rasulullah saw bersabda: 
“Sesiapa yang melakukan sesuatu amal yang bukan perintah kami(Allah dan RasulNya), maka amalan itu tertolak.” 
Hadis riwayat Muslim 

Imam Syafi’I juga pernah menegaskan dalam kitabnya Ar-Risalah dengan kata-kata beliau yang masyhur: 
“Sesiapa yang beristihsan (menyangka baik sesuatu amalannya yang direka), beerti dia telah membuat satu syariat dan sesiapa yang membuat syariat, maka ia sudah kafir.” 

Maka di sini terang mengatakan bahawa ibadat itu tidak boleh di ambil mudah. Hujah akal tidak menghalalkan sesuatu ibadat. Kerana asal sesuatu ibadat itu haram selagi tidak ada dalil yang mengharuskannya. 


Doa Awal dan Akhir Tahun 

Insya Allah pada kali ini, kita akan membuat kesimpulan/ringkasan mengenai isu amalan awal muharam. Untuk memudahkan kita, Kami akan mengkhususkan kesimpulan kita ini berkisar mengenai amalan doa awal dan akhir tahun. 

Berikut adalah doa yang dimaksudkan: 

Awal tahun 
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku melakukan larangan-Mu tetapi aku belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau menangguhkan azab-Mu yang ditetapkan kepadaku. Engkau memerintahkan supaya aku bertaubat. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan daripada Engkau, ampunilah aku. Dan apa yang aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala, maka aku memohonnya daripada Engkau, ya Allah yan Karim yan Zal Jalali Wal Ikram. Terimalah permohonanku ini dan janganlah Engkau hampakan harapanku terhadap-Mu ya Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda juga sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam". 

Akhir tahun 
"Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda dan sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihan-Mu yang maha Agung dan kemurahan-Mu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun baru ini aku memohon daripada Engkau perlindungan daripada syaitan yang direjam, pengikutnya, tenteranya dan penolongnya dan aku emohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan aku dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diri kepada Engkau. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga baginda dan sahabatnya. Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam". 

Manakala berikut ini adalah fadhilat serta kaedah pembacaan yang sering kelihatan: 


Quote: 
Ibnu Abbas berkata: "Siapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah mewakilkan dua malikat memeliharanya pada tahun itu". 

Selepas doa(awal tahun) dibaca, berkatalah syaitan, "Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku mengoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa itu, Allah mengampunkannya setahun". 

Selepas dibaca doa akhir tahun, syaitan berkata, "Telah amanahlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan". 

Bacalah doa awal tahun berikut sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijah. 

Bacalah doa akhir tahun sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam. 

Kami telah cuba untuk mencari serta menjejak kesemua fadhilat serta kaedah pembacaan di atas, namun sayangnya hasil pencarian kami tidak membuahkan sebarang hasil. Bukan hanya kitab-kitab hadis sittah, malahan kitab hadis dhaif dan palsu juga telah kami cuba mencarinya namun hasilnya serupa, hampa. 

Bukan di situ sahaja usaha kami, bahkan fatwa-fatwa dan sumber dari ulama’-ulama’ luar negara selain nusantara telah kami selongkar, tapi juga tidak membuahkan hasil. Maka kami telah membuat kata putus bahawa semua fadhilat serta kaedah pembacaan yang dinyatakan di atas adalah batil dan tidak sabit pada nas al-Quran dan hadis sahih. 

Rasulullah saw telah bersabda dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari yang beerti: 
“Barangsiapa yang beramal dengan sesuatu amalan yang tidak ada hubungan dengan urusan kita, maka ia tertolak.” 

Maka di sini telah jelas bahawa barangsiapa yang mengamalkan amalan awal Muharam(Doa Awal dan Akhir Tahun), beriqtikadkan bahawa ia mempunyai kelebihan sepertimana yang digambarkan, apatah lagi mengatakan amalan ini adalah sunnah Rasulullah saw, maka amalannya tertolak. Dan Allah Rasulullah saw juga telah memberi amaran kepada mereka yang berdusta terhadap baginda saw dalam hadis sahih yang bermaksud: 
“Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atasku dengan sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya di dalam neraka.” Hadis Mutawtir 

Ibnu Mas’ud pernah berkata yang bermaksud: 
“Hendaklah anda sekalian mengikuti apa saja yang dibawa oleh Rasulullah saw dan jangan anda mengada-adakan sesuatu yang baru. Sesungguhnya sudah cukup bagi anda sekalian(sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw).” 

Ibnu Abbas juga pernah berkata: 
“Hendaklah anda sentiasa bertaqwa kepada Allah dan beristiqamah. Ikutilah(apa saja yang disunnahkan oleh Rasullah saw) dan janganlah anda mengada-adakan sesuatu yang baru.” 


Kesimpulan 
Doa pada asal memang terdapat dalam Islam. Dalilnya cukup banyak. Baik di dalam Al-Quran maupun hadis-hadis sahih. Namun begitu, terdapat juga sesetengah pihak yang menaylahgunakan konsep berdoa itu yang sebenar. Mereka menciptakan waktu-waktu khas yang kononnya mustajab yang tidak sabit dari al-Quran dan hadis, mereka menciptakan fadhilat-fadhilat yang kononnya memberi ganjaran apabila dilakukannya dan bermacam-macam lagi. Kesan dari itu wujudlah sepertimana yang sedang kita bincangkan ini iaitu doa awal dan akhir tahun. 

Kami berpendapat adalah tidak salah untuk dibacakan doa-doa tersebut. Kerana berdoa memanglah digalakkan. Tetapi doa tersebut tidaklah seharusnya dijadikan satu amalan yang dilakukan hanya kerana datangnya tahun baru. Apatah lagi dikaitkan doa tersebut kononnya sabit dari Rasulullah saw. Juga mengatakan dengan membacanya maka akan diperolehlah fadhilat-fadhilat tertentu. Kerana kesemua riwayat yang berkaitan doa awal dan akhir tahun ini adalah batil. 

Ingatlah pada sebuah hadis yang masyhur yang bermaksud: 
“Sesungguhnya benar-benar hadith(percakapan) itu ialah kitab Allah. Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad saw. Manakala sejahat-jahat urusan itu ialah yang diada-adakan, kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah manakala setiap bid’ah adalah sesat.” Hadis riwayat Muslim 

Dalam hadis riwayat An-Nasai pula terdapat tambahan: 
“….dan setiap kesesatan itu di dalam neraka.” 

Doa tersebut boleh saja dibaca pada lain-lain waktu. Bukan dikhaskan hanya pada awal dan akhir tahun sahaja. 

Beginilah pendapat dan pegangan kami. Sekiranya terdapat sesiapa yang mungkin dapat mengutarakan dalil dari al-Quran dan hadis yang sahih berkaitan amalan ini haraplah berbuat demikian. Kerana sesungguhnya kami hanyalah hamba Allah yang lemah. 


Sekian. Wassalam 



Rujukan 
Fatwa Islamiyah 
-Sheikh Abdul Aziz bin Baz 
-Sheikh Muhammad bin Salih Al-Uthaimin 
-Sheikh Abdullah bin Abdur-Rahman Al-Jibreen 
-The Permanent Committee and the decisions of Fiqh Council 
Disusun oleh Muhammad bin Abdul Aziz al-Musnad 

Khilafiah, Bid’ah dan Maslahah Umum 
Oleh Ustaz Basri Ibrahim 

Bid’ah Menurut Ahli Sunnah 
Oleh Rasul Dahri 

Du’a – The Weapon of the Believer 
Oleh Abu Ammaar Yasir Qadhi 

www.Islamonline.com 

Islam Question and Answer website 

SJ-1162: Sambutan awal muharam 

http://islam.tc/ask-imam/index.php


END QUOTE

Allah lebih mengetahui